Sejarah pejabat setiausaha persekutuan sabah
Sejarah
Penubuhan Pejabat SUPS adalah inisiatif Allahyarham Tun Abdul Razak bin Hussein, Timbalan Perdana Menteri, pada masa itu, sebaik sahaja Malaysia ditubuhkan. Y.M. Tunku (Tan Sri) Mohamed bin Tunku Besar Burhanudin yang ketika itu memegang jawatan Pegawai Perjawatan di Kuala Lumpur diarahkan pergi ke Malaysia Timur untuk menyelaras dan mencantum sistem pentadbiran awam yang digunapakai di Semenanjung Malaysia. Arahan ini adalah berdasarkan kepada perbincangan awal InterGovernmental Committe 1963 yang bersetuju untuk menubuhkan sebuah Pejabat Perhubungan Persekutuan (Federal Liason Office) di Sabah dan Sarawak bagi peranan Ketua-Ketua Jabatan yang hendak dipersekutuankan (to be federalized) dengan Kementerian di Kuala Lumpur. Pada 16 September 1963, iaitu serentak dengan penubuhan Malaysia, Pejabat SUPS yang juga dikenali ringkas sebagai Urusetia Persekutuan telah ditubuhkan. Pada masa tersebut, Tunku Tan Sri Mohamed dilantik sebagai Setiausaha Persekutuan (bagi “Borneo State”) atau Malaysia Timur dan ditempatkan di Kuching. Timbalan beliau, Tuan Yap Kee Aik ditempatkan di Jesselton (sekarang Kota Kinabalu) Sabah. Pada peringkat permulaannya, Setiausaha Persekutuan yang beribu pejabat di Kuching adalah bertanggungjawab mengendalikan urusan-urusan bagi kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak.
Pada tahun 1967, Pejabat Setiausaha Persekutuan disusun semula dan dengan itu di Sabah dan Sarawak mempunyai Setiausaha Persekutuan masing-masing. Pejabat SUPS telah dimansuhkan atas sebab-sebab tertentu. Pada masa itu, tugas dan tanggungjawab lain yang telah dipertangungjawabkan kepada SUPS telah dipindahkan kepada beberapa pihak persekutuan yang lain. Walau bagaimanapun, pada 21 November 1989, kabinet telah memutuskan supaya diwujudkan semula jawatan SUP di Sabah dan Sarawak. Oleh itu, Pejabat SUPS telah diwujudkan semula pada 1 Mei 1990 dan ia telah diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.